Antara kelebihan dan kepentingan solat dalam hidup kita ialah berpeluang berinteraksi dengan Allah.
Solat memelihara serta membentuk hubungan antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya melalui kemanisan bermunajat dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
Seperti yang diajarkan Rasulullah, solat bermula dengan berdiri, rukuk, ‘iktidal, sujud dan berakhir dengan salam.
Semua itu dilakukan bertujuan membesarkan Allah atas segala nikmat kurniaan kehidupan di dunia ini seperti kesihatan yang baik, zuriat, pasangan suami isteri, ibu bapa dan keluarga.
Maka perbanyakkanlah berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhkan daripada segala bahaya dan tipu daya syaitan.
Solat memberi manusia peluang menggandakan pahala serta menghapuskan segala dosa. Kita perlu mengucapkan rasa kesyukuran tidak terhingga kerana Allah memberikan banyak kelebihan kepada umat Nabi Muhammad yang tidak terdapat pada umat sebelumnya.
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
“Bahawasanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bertanya kepada sahabatnya, adakah kamu percaya bahawa kekotoran masih melekat pada tubuh seseorang yang mandi lima kali sehari dalam sungai yang mengalir di hadapan rumahnya?” Lalu baginda bersabda: Begitulah umpamanya kesan solat yang dikerjakan lima kali sehari. Dengan rahmat Allah ia dapat menghapuskan segala dosa” (Muttafaq Alaih).
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114).
Malah rahsia solat juga tersingkap 1,001 makna kerana ia memberi riadah kepada tubuh badan harian selain memberikan kerehatan jiwa.
Maka solat menjadi salah satu cara merawat kegelisahan dan gundah gulana dalam diri manusia.
Menurut riwayat Ahmad, apabila Rasulullah mengalami satu perkara yang mendukacitakan, Baginda mengatakan: “Berdirilah Wahai Bilal, damaikan kami dengan sembahyang.”
Meninggalkan solat pula menjadikan hati manusia jauh untuk melakukan amal kebaikan malah buruk akhlaknya.
Malah amalan yang mula-mula sekali dihitung pada hari pembalasan kelak ialah solat. Jika sempurna solatnya maka baiklah seluruh amalannya.
Kewajipan menunaikan solat lima kali sehari semalam tidak membataskan manusia walau di mana atau dalam apa juga keadaan sekalipun.
Ia perlu dilaksanakan sama ada dalam keadaan sihat, sakit, dalam peperangan, sedang bermusafir dan tidak mengira golongan sama ada kaya atau miskin.
Solat tidak boleh dipandang ringan dan ia perlu kepada kesabaran dan kekuatan dalaman yang kuat.
Malah seseorang yang inginkan diri mereka sentiasa menjaga serta memelihara solat perlu ada rasa tanggungjawab tinggi untuk melakukan amalan itu hanya kerana Allah.
Tidak boleh sesekali seseorang menggunakan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memakai susuk atau ilmu sihir bagi mendorong mereka ‘rajin’ beribadah.
Catat Ulasan
0 comments: