Alhamdulillah. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad. Amma ba’d.
Apabila tiba bulan
Rabi’ul-awwal, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia
menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati
tarikh kelahiran insan mulia, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi
wasallam.
Walaupun terdapat
perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ berkenaan tarikh sebenar
kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, namun rata-rata
masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi’ul-awwal merupakan tarikh
lahirnya Baginda ke dunia ini. Kelahiran Baginda sallAllahu ‘alaihi
wasallam membawa bersamanya rahmat ke seluruh alam.
Di dalam kitab ar-Rahiq
al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan
bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ’alaihi wasallam adalah
pada hari Isnin, 9 Rabi’ul-awwal tahun pertama peristiwa gajah. Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).
Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan bahawa menyambut maulid ar-Rasul hukumnya
end typing
Sebahagian ulama’ ada
yang mengatakan bahawa menyambut maulid ar-Rasul hukumnya harus, ada
yang kata sunnat dan malah ada juga yang mengatakan ia bid’ah. Saya
secara peribadi lebih cenderung untuk tidak meraikannya
kerana Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita
menyambutnya, dan malah para Sahabat Baginda radhiAllahu ‘anhum ajmain
juga tidak meraikannya, sedangkan merekalah insan-insan yang tersangat
cinta dan malah sanggup berkorban nyawa dan harta untuk perjuangan
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Namun, jika masyarakat
sekitar meraikannya dengan mengadakan ceramah dan kuliah maulidurRasul,
saya juga turut hadir untuk mendapat peluang refresh sejarah
kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Pada waktu inilah,
kebanyakan masjid dan surau akan mengadakan kuliah-kuliah dan
ceramah-ceramah bagi mengajak ummat ISLAM mengenang kembali perjuangan
Nabi dan mengambil pengajaran daripadanya. Selagi tidak
berlebih-lebihan dan membazir, insyaALLAH ia program yang makruf.
Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada sambutan maulidurRasul yang
disambut, insyaALLAH.
Perkara yang lebih
utama dari menyambut hari kelahiran Baginda sallAllahu ‘alaihi
wasallam sebenarnya ialah untuk kita menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah
Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Perkara inilah yang lebih
penting. Bahkan, syarak telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian daripada kewajipan seorang
muslim.
Anas bin Malik radhAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam telah dipilih ALLAH subhanahu wata’ala sebagai Pesuruh dan
KekasihNYA. Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling
dicintai dan diredhai ALLAH. Inilah peringkat cinta yang tertinggi di
kalangan makhluq.
Betapa Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam telah banyak berkorban dan menghadapi
pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN
yang kita perolehi saat ini.
Baginda pernah dipukul,
disakiti, dicela, dimaki dan dipulaukan oleh orang yang paling hampir
dengannya. Namun, Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam tetap tidak
berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada ummatnya.
Sanggupkah kita melalui
perkara yang sama seperti Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?
Banyak benar telah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam lakukan untuk
kita. Oh, Rasulullah… kami cinta padamu!!!
Ungkapan cinta tidak
memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda. Malah cinta
sahaja tidak mencukupi. Kita mesti menerapkan al-hubbu wa ittiba’ iaitu cinta dan ikut.
Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi
wasallam perlu disertai dengan ikut sunnah yang Baginda sallAllahu
‘alaihi wasallam tinggalkan.
Jika kita sekadar cinta
tetapi tidak ikut, seakan samalah kita seperti Abu Talib yang mencintai
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Abu Talib adalah bapa saudara Nabi
yang banyak berjasa kepada Baginda. Tetapi sayang sekali, seruan
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak mahu diterimanya. Sikap
seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat. Mereka mempunyai rasa
cinta kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mereka marah dan berang
apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji dan memperlekehkan Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam. Tetapi yang sedihnya, dalam masa yang sama
mereka tidak pula menurut perintah-perintah ALLAH
melalui seruan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam. Cinta sebegini
tidak diterima sebagai cintakan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Jika sekadar ikut dan
tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqun yang berlegar-legar
di sekeliling Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mereka ikut Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah melakukan beberapa sunnah, tetapi di
dalam hati mereka tidak mencintai pun Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam,
malah mempunyai niat buruk kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Perbuatan seperti ini juga tertolak.
Seorang muslim mesti mempunyai kedua-duanya. Iaitu cinta dan ikut sunnah (al-hubbu wa ittiba’ as-sunnah).
Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?
1. Kenali Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
Kisah-kisah Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam yang kita pelajari sejak di bangku sekolah
sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda sallAllahu
‘alaihi wasallam. Daripada kisah-kisah tersebut, banyak yang telah kita
ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi
wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH subhanahu wata’ala sangat
berat dan besar jasanya kepada kita semua.
Dengan mengenali kisah
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, pasti akan terbit rasa cinta. Orang
kata, “Tak kenal, maka tak cinta”. Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta,
kita perlu menyelidiki sifat peribadi dan sejarah kehidupan Baginda
sallAllahu ‘alaihi wasallam. InsyaALLAH, melalui buku-buku, ceramah,
kuliah dan lain-lain sumber banyak boleh didapati akan mengenalkan kita
kepada insan yang mulia ini. Dalam ceramah-ceramah maulidurRasul juga
dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang ‘alim, insyaALLAH.
2. Bersolawat
Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
“Sesungguhnya
Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang
yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam
penghormatan kepadanya.” – al-Ahzab: 56.
Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan berselawat keatasnya 10 kali ganda – (HR Muslim)
Sentiasalah bersolawat
ke atas Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Tatkala lapang atau sibuk,
getarkanlah lidah kita dengan bersolawat ke atas Baginda. Solawat iaitu
do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara
yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta
kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Solawat Ibrahimiyyah
iaitu seperti solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat
disarankan membacanya kerana ia telah diajarkan oleh Rasulullah
sallAllahu ‘alaihi wasallam dan dikatakan ia adalah ungkapan solawat
yang disukai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam.
3. Menghidupkan sunnah.
Hendaklah kita cuba
sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi
wasallam samada dari segi perkataan mahupun amalan. Apa yang disuruh
Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam hendaklah kita sungguh-sungguh cuba
melaksanakannya.
Pada susuk tubuh dan
akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam terdapat banyak tauladan
dan kebaikan yang boleh kita ambil. Firman ALLAH yang maksudnya:
“Sesungguhnya
telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu
(yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari
kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah al-Ahzab: 21.
Hendaklah kita pegang
sungguh-sungguh akan sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam dan
menjadikan ia sebagai pedoman dalam menghadapi cabaran kehidupan.
InsyaALLAH, dengan mengikuti sunnah kita akan selamat. Nabi sallAllahu
‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:
“Sesungguhnya
aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang
teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu
kitabullah dan sunnah NabiNYA.” (Disahihkan oleh Al-Hakim)
“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)
“Aku berwasiat
kepadamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wajalla, agar mendengar, taat
dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak. Barangsiapa hidup panjang
umur dari kamu maka dia akan melihat banyak silang-sengketa.
Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang
mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan
gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru.
Sesungguhnya tiap bid’ah mengandung kesesatan.” (HR. Tirmidzi)
Segala pesanan dan
perintah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam wajib untuk kita ta’at dan
amalkan. Perintah, pesanan dan nasihat Baginda s.a.w boleh kita ikuti
melalui pembacaan buku-buku hadith yang banyak di pasaran. Cara Baginda
s.a.w bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian,
berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan
sebagainya wajar diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.
Nescaya, hidup kita
akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam diamalkan dalam kehidupan
seharian.
Mudah-mudahan
MaulidurRasul yang ramai di kalangan kita raikan ini dapat membuka minda
dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi
sallAllahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan
ummat Baginda s.a.w yang beruntung dan diberi syafaat di akhirat kelak,
amin.
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di tepi.
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
Catat Ulasan
0 comments: