Seorang Sheikh telah mendapat jemputan
ceramah agama dari sebuah perkampungan yang letaknya sejauh 400km.
Untuk tidak menghampakan penganjur dan penduduk setempat, maka Sheikh
tersebut pun bersetuju untuk datang ke perkampungan itu.
Sampai sahaja di perkampungan tersebut,
beliau telah disambut oleh seorang lelaki yang merupakan penganjur
kepada program ceramah yang diadakan. Si Sheikh agak terkejut dengan
penampilan lelaki itu. Bukan sahaja pakaiannya tidak sesuai dengan
majlis ilmu, malah tangannya pula asyik memegang puntung rokok yang
berasap. Si Sheikh dapat mengagak latar belakang penduduk perkampungan
itu dengan melihat kepada peribadi lelaki penganjur itu. Jika si
penganjur majlis agama pun sudah macam itu, tentu agaknya penduduk lain
lebih kurang macam itu atau lebih teruk lagi.
Betullah anggapan si Sheikh itu. Tidak
sampai 15 minit ceramah disampaikan, penduduk yang hadir dalam majlis
ilmu tersebut mula
end typing
bercakap sesama sendiri. Ada yang tidur.
Ada yang keluar dan masuk. Dan malah ada yang mula menghisap rokok.
Situasi ini amat tidak menyenangkan si Sheikh itu. Sudahlah datang
dengan memandu sejauh 400km untuk memberi ceramah, begini pula layanan
para penduduk kepada beliau.
Selesai ceramah, si Sheikh pun pulang
dengan sedikit hampa. Dalam hatinya berkata, “selepas ini memang aku
tak datang dah ke sini…”
Setahun berlalu.
Tiba-tiba si Sheikh itu menerima
panggilan dari seorang lelaki untuk menjemput beliau untuk memberi
ceramah. Suara dan gaya percakapan lelaki tersebut dapat dicam oleh si
Sheikh itu. Lelaki yang sama yang menjemput beliau ke perkampungan yang
terletak 400km itu. Sheikh tersebut masih ingat.
Walaupun Sheikh itu telah mengatakan
bahawa beliau tidak akan lagi ke kampung itu kerana terlalu jauh, namun
jauh di sudut hatinya mengharapkan ada perubahan selepas setahun
berlalu. Si Sheikh itu pun bersetuju untuk hadir memenuhi jemputan
ceramah agama tersebut.
Sampai sahaja di kampung itu selepas
pemanduan sejauh 400km, lalu Sheikh itu disambut oleh lelaki yang
menelefon beliau dengan mesra. Rupa-rupanya lelaki tersebut masih tidak
berubah. Masih dengan penampilan seperti setahun yang lalu dan juga
dengan rokok di tangannya. Si Sheikh menguatkan semangat beliau untuk
memberikan ceramah.
Selepas 20 minit ceramah, perkara yang
sama berlaku. Iaitu ada bercakap sana-sini. Ada yang tidur. Ada yang
mundar-mandir di dalam majlis ilmu dan ada juga yang menghisap rokok.
Tidak berubah dari tahun yang lalu. Si Sheikh berasa sedikit kecewa
namun ceramah tetap diteruskan demi untuk menyampaikan dakwah.
Seperti biasa, selepas ceramah lalu
diadakan sesi soal-jawab. Hanya 3 soalan diajukan. Ini menggambarkan
betapa tidak berminatnya penduduk tersebut dengan majlis ilmu yang
beliau telah sampaikan. Mengikut kebiasaan, biasanya di mana-mana pun
beliau berceramah, banyak soalan diajukan dan ia menandakan betapa
seronoknya pendengar dengan majlis ilmu. Tetapi di sini hanya 3 sahaja.
Walaupun agak kecewa dengan layanan
penduduk terhadap beliau yang datang dari jauh, namun setelah membaca
salah satu surat dari pendengar yang mengajukan soalan, kekecewaan
beliau terubat. Beliau kembali semakin bersemangat dan tersenyum.
Kandungan surat itu berbunyi:
“Sheikh, demi ALLAH, saya tidak
pernah meninggalkan walau satu hari pun solat sunnat Witir sejak setahun
lepas selepas saya mendengar Sheikh menceritakan tentang solat Witir
dalam ceramah yang tuan Sheikh sampaikan tahun lalu.”
ALLAHU AKBAR!
Rupa-rupanya ada juga insan yang
mengambil manfaat atas apa yang beliau telah sampaikan. Walaupun
persoalan solat sunnat Witir itu cuma salah satu daripada banyak perkara
yang beliau telah sentuh dalam ceramah, tetapi apabila mendapat tahu
bahawa ada orang mengamalkannya asbab dari ceramah tersebut, malah orang
itu istiqamah pula, ia cukup menggembirakan Sheikh tersebut.
Selepas peristiwa itu, si Sheikh cuba
untuk membuangkan perasaan kecewa atau hampa akibat dari layanan para
pendengarnya. Mengingati peristiwa tersebut membuatkan beliau sentiasa
bersemangat untuk menyampaikan dakwah walau sejauh mana pun tempat itu
dan bagaimana pun layanan masyarakat setempat.
Ternyata, dalam ramai-ramai orang kampung
itu, walaupun majoriti tidak memberikan perhatian, namun di sana tentu
ada orang yang menyambut seruan dakwah. Kalau tidak ramai, seorang pun
sudah cukup. Memang suatu yang menggembirakan buat pendakwah jika
mengetahui apa yang disampaikannya diamalkan oleh para pendengar yang
hadir.
Tuan/puan sekalian yang dirahmati ALLAH sekalian,
Kisah di atas cuma secuit contoh dari
masyarakat yang boleh diambil iktibar dan pengajaran. Sudah tentulah
kisah-kisah besar dari para Nabi, Rasul dan para pejuang yang
memperjuangkan agama ALLAH sentiasa menjadi pedoman ampuh buat kita
semua dalam terus bersemangat mencari redha ALLAH melalui usaha dakwah.
Dan hadith dari Abu Mas`ud `Uqbah bin
`Amr al-Ansori al-Badri radhiAllahu `anhu ini sentiasa menjadi motivasi
dan inspirasi besar buat para pendakwah untuk terus menyampaikan dakwah,
iaitu Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda:
“Barangsiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”
(HR Muslim)
Dan jika tiada langsung yang menyahut
seruan dakwahmu wahai pendakwah, jangan bersedih dan layu semangat,
kerana ALLAH sentiasa melihat usahamu dan pasti akan membalasinya.
ALLAH Subhanahu wa Ta`ala berfirman:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maksudnya: ”Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya.”
(Surah al-Zalzalah, ayat ke-7.)
Kebaikan dari sisi ALLAH buat penyeru kebaikan dan pendakwah pasti ada walau zahirnya nampak seperti gagal atau tidak berhasil.
Peranan pendakwah adalah terus
menyampaikan seruan-seruan kebaikan. Adapun tentang perubahan yang
bakal terjadi kepada orang yang didakwah itu serahkan sahaja pada ALLAH.
Terpulang kepada ALLAH. DIA lah memberikan hidayah dan taufiq kepada
hamba-hambaNYA.
Sebagaimana kisah di atas telah memberi
inspirasi buat saya, saya berharap kisah ini bermanfaat juga buat
tuan/puan yang membacanya, khususnya buat para pendakwah. Dan kena
ingat, kita semua adalah pendakwah.
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di tepi.
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
Posted @
http://darulruqiyyah.blogspot.com
Catat Ulasan
0 comments: