Dia mengalami sejenis kesakitan yang dipanggil sakit khayalan yang turut dirasai oleh kebanyakan orang yang cacat anggota badan kerana perlu dipotong sama ada disebabkan penyakit atau kecederaan.
Kini, selepas dua dekad berdepan penderitaan, penduduk Kemboja dapat mempraktikkan teknik inovatif terbaharu yang menjanjikan kesakitan hilang lebih pantas dengan hanya menggunakan cermin.
Caranya adalah dengan menggerak-gerak
cermin di depan anggota yang hilang dengan tujuan meredakan kesakitan.
Duduk di atas sebuah kerusi sambil memegang sebuah cermin panjang menghadap kakinya, Sopheak, 50, tersipu-sipu senyum di hadapan hampir dua dozen ahli terapi fizikal yang mengelilinginya.
Itu adalah sesi terapi cerminnya yang pertama di pusat pemulihan untuk amputasi (individu hilang anggota badan), Combodia Trust di tengah-tengah wilayah Kampung Chhnang.
Sopheak kelihatan tenang sambil mengerak-gerak jari kaki kanan, manakala pandangan mata melihat imej yang terpantul daripada cermin seperti diarah oleh jurulatih berbangsa Kanada, Stephen Sumner.
Imej terhasil pada cermin memberi kesan lapisan visual (super-imposed) pada bahagian yang sudah hilang.
"Ia merupakan sebuah sensasi baharu. Pelik, tetapi dengan cara yang baik. Saya melihat kaki saya pada cermin dan berasa gembira serta minda berada dalam keadaan tenang," kata bekas askar itu yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan kepada pemberita AFP.
Terang Sumner, pantulan imej anggota yang sihat boleh memperdaya otak dengan menafsirkan isyarat kedua-dua kaki dalam keadaan baik.
Pantulan itu juga menghantar isyarat biasa (normal) kepada isyarat kaki khayalan yang sebelum ini dilihat sebagai anggota yang telah hilang.
"Dengan melihat pada cermin, otak akan secara tiba-tiba membolehkan anda menggerakkan kaki khayalan dan melakukan semua perkara yang kaki sebenar boleh melakukannya.
"Otak hanya perlu diberi muslihat. Ia (perasaan) perlu dilepaskan," kata Sumner, 51, yang juga kehilangan kaki kiri dalam sebuah kemalangan langgar lari pada lapan tahun lalu.
|
|
Teori yang boleh diaplikasi pada kesakitan bahu atau kekejangan otot itu dibangunkan pada tahun 1995 oleh seorang ahli saintis neuro dari Universiti California, San Diego, Vilayanur S. Ramachandran.
Dia dinamakan sebagai salah seorang individu yang paling berpengaruh dalam majalah Time pada tahun 2011.
Menurut pakar terapi cermin yang pernah bekerja dengan Ramachandran, Eric Altschuler, teknik tersebut mula mendapat perhatian di Amerika Syarikat, Kanada dan benua Eropah beberapa tahun lalu selepas pasukan askar yang bertugas di Iraq dan Afghanistan pulang dengan kecacatan anggota badan.
Ambil masa
Di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed, Washington, terapi cermin telah menjadi rutin harian kepada mereka yang mengalami amputasi.
Muslihat neurologi juga mendapat perhatian ramai selepas teknik tersebut tersiar dalam salah sebuah episod drama bersiri bertema perubatan terbitan Amerika Syarikat, House.
Bagaimanapun, cara tersebut masih lagi dianggap asing di Kemboja yang merupakan sebuah negara yang memiliki ribuan pesakit amputasi kesan daripada kemalangan jalan raya, penyakit dan periuk api tinggalan perang saudara.
Sumner amat memahami kesakitan hilang anggota badan dan berazam mahu menyebarkan mesej bahawa perasaan tersebut boleh dirawat. Dia menyifatkan sakit khayalan itu seperti terkena panahan petir terus ke kakinya.
Dibiayai oleh sebuah badan yang berpusat di Kanada, The Pain Project, dia telah berlatih bersama berpuluh-puluh pakar perubatan dan individu amputasi di seluruh Kemboja.
Paling penting bagi negara miskin itu, Sumner turut menyerahkan cermin panjang bagi kaki, manakala cermin pendek untuk tangan secara percuma melalui dana daripada badan tersebut.
"Terapi cermin tidak boleh mengubati serta-merta. Kamu perlu menjalani terapi sekurang-kurangnya selama empat minggu," katanya kepada pakar terapi Combodia Trust.
Sopheak berharap, dia dapat mengekalkan rutin latihan sekali gus terlepas daripada sengsara kesakitan. Sakit yang dia gambarkan seperti gegaran pada kaki diikuti dengan sakit yang mencucuk pada ibu jari dan anak jari kelengkeng kaki.
Sehingga kini, dia masih lagi menghilangkan kesakitan yang ditanggung dengan pelbagai cara seperti bernyanyi atau bergendang.
Kadangkala dia urut kakinya yang sudah kudung atau ambil pil penahan sakit namun, kesannya tidak efektif
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
Posted @ http://darulruqiyyah.blogspot.com
Catat Ulasan
0 comments: