Sejak kebelakangan ini, saya melihat semakin ramai pesakit di Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah. Pelbagai peringkat umur ada dan pelbagai jenis keadaan yang datang...yang uzur, berdukung, berkerosi roda, OKU dan pelbagai lagi. Walau bagaimanapun, sekalung penghargaan diucapkan buat semua pesakit yang sentiasa sabar menanti giliran dalam keadaan yang sesak dan ruang yang terhad. Kerjasama yang diberi terhadap pihak DR sangat kami hargai. Di sini, suka saya berkongsi sedikit tips untuk semua pesakit atau pengunjung blog.
1. Solat
45. Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Surah Al-'Ankabut)
Solat merupakan tunjang utama dalam kehidupan. Solat itu tiang agama. Apabila kita ditimpa musibah/ujian, mintalah pada Allah dengan penuh yakin. Namun, bukan hanya ketika sakit, baru ingat Allah tetapi solatlah sentiasa kerana solat itu kewajipan kita. Sesungguhnya solat itu(yang betul dan sempurna) akan menghindarkan diri daripada perkara keji dan mungkar. Jangan lupa juga untuk berdoa dan berzikir selepasnya kerana doa itu senjata bagi orang mukmin. Dalam proses rawatan juga, pihak DR akan meminta pesakit mengamalkan beberapa ayat Al-Quran untuk dijadikan zikir dan pendinding diri.
Firman Allah :
Dan Kami turunkan dari Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.
2. Selawat
Banyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Banyak jenis-jenis selawat yang boleh diamalkan dan dalam perubatan terdapat selawat khusus contohnya 'selawat syifa'.
Firmah Allah :
"Sesunggunya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucaplah salam ke atas Baginda".
3. Sedia
Untuk mencari kesembuhan, sememangnya para pesakit akan berdepan dengan pelbagai gangguan.Bagi yang pernah menerima rawatan di DR, gangguan itu bukan sahaja selepas mendapatkan rawatan malah sebelum rawatan juga akan diganggu. Contohnya perasaan berbelah bahagi, diuji dengan pelbagai halangan dan sebagainya. Ingatlah bahawa perasaan was-was itu adalah daripada syaitan dan makhluk ini tidak akan membenarkan kita untuk mendapatkan rawatan kerna ia akan men'jauh'kan diri kita daripadanya. Ujian itu juga kadangkala menjadi lebih berat apabila kita mendapatkan rawatan dan dalam proses penyembuhan. Namun yakinlah bahawa Allah lebih berkuasa dari segalanya. Maka, bersedialah daripada sekarang dari segi rohani, emosi, mental dan fizikal untuk berdepan dengan segala kemungkinan/gangguan.
4. Sabar
Saya percaya ada di kalangan pesakit yang pernah berjumpa dengan pelbagai jenis perubatan samada Islam mahupun bukan. Ada yang pergi ke merata tempat untuk mencari penawarnya. Ada yang sanggup berkorban apa sahaja dan kadangkala pernah ditipu. Ingatlah, semua itu adalah ujian Allah buat kita agar kita terus berusaha dan tidak pernah berputus asa. Doa bagi orang yang beriman pasti akan dimakbulkan sama ada cepat atau lambat. Kadangkala Allah rindukan rasa kehambaan kita, rayuan kita padaNya agar kita sentiasa ingat padaNya. Sakit itu juga tanda Allah sayang pada kita, kadangkala berupa peringatan bagi manusia yang lalai, kadangkala berupa ujian bagi kesabaran dan meningkatkan keimanan seseorang. Andai ia berupa peringatan bagi yang lalai, muhasabahlah diri dan dekatkan diri padaNya. Andai berupa ujian kesabaran, berSABARlah. Andai kematian itu pengakhirannya, redhalah dan berdoalah agar 'kesudahannya' di dalam husnul khatimah (kesudahan yang baik). Yakinlah bahawa Allah lebih tahu yang terbaik buat diri kita.
Firman Allah : "Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".
bersambung.....
- perkongsian daripada salah seorang wakil Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah (PRI DR)
Baca Seterusnya.. »