GELAGAT orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan menyambut kedatangan penulis ke Pusat Rawatan Darul Ruqyah, Sunway Batu Caves petang Jumaat itu. Walaupun hujan lebat di luar, semua itu tidak mengganggu penantian mereka, malah bilangan yang baru datang tetap bertambah. Semuanya dengan hajat yang sama - mencuba perubatan yang semakin menjadi sebutan ramai itu.
Pelbagai gaya dan ragam, ada yang membawa anak kecil dan ada juga yang kelihatan seperti sihat-sihat sahaja.
"Bulan puasa kurang sikit pengunjung. Kalau tidak, boleh mencecah 200 orang untuk tempoh dari pukul 3 hingga 10 malam. Mungkin syaitan dah banyak kena ikat, jadi gangguan pun kurang," seloroh Mohd. Suhaimi Rohani@Rozali memulakan perbualan.
Kebiasaannya, kata beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan di situ mengalami gangguan makhluk halus seperti saka, sihir, santau, histeria dan juga gangguan psikologi seperti gila. Tidak terkecuali mereka yang mengalami sakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, jantung tersumbat, kanser, sawan dan pelbagai lagi.
Kaedah ruqyah jelasnya menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ia memerlukan pesakit menjalani proses imbasan yang dilakukan pengamal perubatan bagi menentukan sama ada mereka mengalami gangguan atau tidak.
"Biasanya kalau seseorang itu mempunyai gangguan yang teruk seperti saka, dia akan mengalami histeria dan menjerit-jerit sejurus dilakukan imbasan," kata Ustaz Suhaimi yang berasal dari Pendang, Kedah.
Sebenarnya dalam perubatan Islam katanya, sebarang penyakit berpunca daripada gangguan makhluk halus dalam darah kita. Penyakit ini katanya tidak akan hilang dan ia hanya boleh diredakan melalui amalan dan ibadat. Namun begitu, ia tetap diwarisi kepada anak cucu pesakit kelak.
"Kalau kita fahami penyakit keturunan seperti talasemia, begitu juga dengan masalah gangguan dari segi perubatan Islam. Cuma untuk memberi penerangan yang lebih jelas agak sukar," katanya.
Kata Ustaz Suhaimi lagi, untuk mengenal pasti seseorang itu mengalami gangguan sebenarnya tidak sukar. Kebiasaannya individu tersebut cepat marah, lesu, letih manakala bagi wanita pula tanda-tanda seperti masalah haid yang tidak teratur.
Mantera
Penawar ruqyah kata Ustaz Suhaimi menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi merawat semua jenis penyakit. Ruqyah bermaksud mantera atau jampi dan ia diajar oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami gangguan makhluk halus.
Selain bacaan ruqyah, rawatan itu menggabungkan terapi menggunakan air penawar (sumber air zamzam), limau purut dan garam bukit. Pesakit kata beliau, akan menjalani rawatan bersama pengamal dan kemudian dia akan dibekalkan dengan cakera padat bacaan ruqyah untuk dipasang di rumah. Pesakit juga dibekalkan terapi sampingan seperti minyak dan bahan mandian.
Menurutnya, terapi yang diberi bukan sebarangan kerana ia mengandungi bacaan ruqyah dan zikir yang telah diswastakan kepada pihak lain seperti pelajar tahfiz dan sekolah pondok.
"Pesakit terlalu ramai. Mustahil saya mampu membaca ruqyah dan berzikir untuk semua. Jadi dalam zaman serba moden ini, zikir pun secara online," katanya.
Beliau juga akan melakukan solat hajat berdasarkan masalah yang dialami pesakit pada borang yang ditulis ketika mendaftarkan diri.
Ustaz Suhaimi berkata, boleh dikatakan 80 peratus pesakit yang datang ke Darul Ruqyah sembuh dengan izin Allah kecuali penyakit serius yang berada di tahap akhir seperti kanser.
Bagi pasangan suami isteri yang mengalami masalah pula, dinasihatkan kedua-dua menjalani rawatan kerana ia saling berkait rapat. Begitu juga dengan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak.
"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami sawan. Bukan kanak-kanak tadi yang menjalani rawatan sebaliknya hanya ibunya dan kemudian Alhamdulillah, penyakit itu hilang," kata beliau.
Kesempatan
Kepercayaan ramai terhadap keberkesanan rawatan Islam menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan sejak akhir-akhir ini, kata Ustaz Suhaimi.
Menurutnya, ada yang meletakkan harga tinggi untuk rawatan dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang bayaran.
Berbeza dengan dirinya yang meletakkan harga pendaftaran sebanyak RM10 dan pengesanan juga dalam jumlah yang sama, beliau menjelaskan ia perlu kerana mahu melayan semua pesakit secara saksama serta tidak mahu terdetik sebarang perasaan dalam hati.
"Katakan ada yang bayar saya sampai beribu ringgit untuk merawat penyakitnya, tentu dalam hati saya nak merawat bersungguh-sungguh, berbeza pula layanan saya dengan orang yang memberi RM2 sahaja misalnya kerana bila ia menyentuh soal kepuasan hati, ia menjadi suatu perkara yang sukar untuk kita tentukan," katanya.
Selain daripada bayaran tadi, pesakit hanya perlu membayar mengikut jenis terapi yang diperlukan dan biasanya ia tidak melebihi RM100.
Menurutnya, pesakit walaupun datang daripada mereka yang berpendidikan namun apabila berada di tempat sebegitu mereka mudah terpedaya kerana percaya dengan janji untuk sembuh.
Justeru tidak hairanlah ramai yang tertipu dan tidak kurang juga percaya kepada perubatan berbentuk khurafat.
Menurutnya tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu perubatan itu khurafat iaitu melalui mantera (tidak menggunakan bacaan Al-Quran atau jika dalam bahasa lain berbunyi janggal), kemenyan, besi, benda berwarna (contoh kain kuning), batu dan juga memerlukan hari tertentu.
kredit @ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_02.htm