“UBAT tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau
 tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan 
kita bersama orang sekeliling.
  Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang 
disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: 
“Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham 
penyakit aku.”
  Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. 
Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak 
boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat 
si dia berpacaran dengan lelaki lain.”
  Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang 
dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah,
 kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar
 atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada 
apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu
 dibincangkan
  Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang 
end typing
iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, 
lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah.
  Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh 
mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan 
Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir.
  Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang 
mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. 
Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya 
disebut syirik tersembunyi.
  Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam 
beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada 
Allah.
  Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa 
kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah 
dia.
  Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan 
usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah
 dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada 
yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT.
  Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah.
  Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. 
Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, 
padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana.
  Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ 
kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak 
sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak.
  Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu 
tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang 
memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia
 bersolat jemaah di masjid.”
  Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: 
“... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka 
berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan 
solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang 
beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan 
solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
  Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga 
berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita 
digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau 
kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam.
  Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi 
parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri 
sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, 
lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah.
  Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu.
  Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan.
  Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis 
yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling 
dilaknat Allah.
  Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia 
kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah.
  Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan 
seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan 
Allah ke atas manusia.
  Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya 
tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: 
“Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud 
itu?”
  Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau 
jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah
 kental yang berubah warna dan baunya.”
  Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, 
kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu 
makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34)
  Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia.
  Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali 
(nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan 
kita dari hari ke hari.
  Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, 
harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil.
  Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap 
syirik yang tidak sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik 
yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang 
merayap di atas batu besar.”
  Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: 
“Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik 
kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan 
manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada 
orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. 
Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam 
Ahmad)
 Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi. 
PERHATIAN:- Jika anda rasa kandungan ini patut disebarkan ke laman facebook dan twitter anda,sila klik butang kongsi di tepi. 
TERIMA KASIH KERANA KONGSI KANDUNGAN INI DENGAN RAKAN ANDA..
Posted @
 http://darulruqiyyah.blogspot.com